j01

j01
Latest Posts

Friday, May 7, 2010

NOTIS



BLOG INI SEDANG DALAM PEMBINAAN SEMULA

KAMI AKAN BERUSAHA SECEPAT MUNGKIN MENYIAPKANNYA

TERIMA KASIH KERANA SUDI MELAWAT
read more...

Wednesday, March 18, 2009

Sangkar ikan air tawar lubuk duit


Sangkar ikan air tawar lubuk duit

Petikan dari Utusan Malaysia 6/3/2009
Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

ikan patin dan tilapia boleh dijual selepas lima atau enam bulan dibela ketika beratnya mencapai antara 500 dan 700 gram.

Menyusuri Sungai Pahang di daerah Jerantut, Pahang, tentu mata tidak lepas memandang sangkar-sangkar ikan air tawar yang meriah menghiasi tebing sungai.

Industri ikan sangkar sebenarnya memberikan pulangan lumayan kepada penternak jika mereka mengusahakannya secara bersungguh-sungguh.

Antara penternak ikan air tawar yang berjaya di daerah Jerantut, Isharum Bujang, 47, yang telah melibatkan diri dalam industri ternakan ikan sangkar seperti patin dan tilapia sejak 10 tahun lalu.

Bermula dengan modal RM10,000, bekas tentera ini membina dua buah sangkar berukuran 10 kaki x 12 kaki x 5 kaki bagi ikan patin dan tilapia dengan bekalan benih diambil daripada pembekal di Rawang, Selangor.

"Biarpun nampak remeh tetapi sebuah sangkar ikan menelan kos antara RM3,500 hingga RM4,000 bergantung kepada mutu dan upah menarik sangkar ke sungai dan tidak termasuk kos anak benih.

"Harga anak benih ikan patin bersaiz empat inci berharga antara 50 hingga 70 sen seekor berbanding ikan tilapia 40 hingga 50 sen pada saiz yang sama,'' katanya yang tidak pernah menerima sebarang bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman atau geran daripada agensi kerajaan atau swasta.

Terdapat 80 sangkar ikan yang dipunyai oleh lima individu berlainan diletakkan sepanjang Sungai Pahang di Kampung Lada, Jerantut Feri, Jerantut.

Isharum berkata, ikan patin dan tilapia boleh dijual selepas lima atau enam bulan ketika beratnya antara 500 hingga 700 gram.

"Permintaan ikan dengan berat lebih kurang 600 gram amat menggalakkan," katanya.

Biasanya satu sangkar yang menempatkan antara 1,000 hingga 1,200 ekor benih ikan boleh mengeluarkan sehingga satu tan ikan bagi satu musim.

"Bagaimanapun bukan semua benih ikan yang dilepaskan akan hidup dan membesar kerana sebahagiannya akan mati," jelas beliau.

Mengenai pasaran, Isharum berkata, permintaan ikan patin dan tilapia sangkar amat menggalakkan terutama di pasar tani, pemborong dan pasar besar Jerantut.

Satu kilogram ikan patin dan tilapia biasanya dijual secara runcit dengan harga RM13 hingga RM14 sekilogram.

"Setakat ini kami tidak dapat memasarkan hasil ikan ke kawasan lain di Pahang kerana hasil yang dikeluarkan masih belum mencukupi,'' kata Isharum yang berasal dari Jerantut.

Sementara itu seorang lagi penternak ikan air tawar, Zanuari Abd. Halim, 42, mula menternak dengan empat sangkar ikan.

Anak jati Jerantut yang menternak ikan patin, tilapia dan beberapa jenis ikan air tawar lain mengakui permintaan yang diterima melebihi bekalan.

"Kami tidak dapat mengeluarkan ikan dengan banyak kerana kami menghadapi masalah dengan bekalan benih dan harga makanan ikan yang semakin mahal.

"Benih ikan yang dibeli kadang-kala kurang berkualiti walaupun dibeli di tempat yang sama dan benih yang kurang bermutu akan menyebabkan ikan lambat membesar untuk dipasarkan," katanya berusaha mencari benih ikan yang berkualiti.

Kata Zanuari, selain itu ikan sangkar juga sering terdedah kepada risiko kematian akibat cuaca yang tidak menentu seperti hujan lebat, banjir kilat serta masalah berkaitan dengan pencemaran air.

Sementara itu seorang lagi penternak ikan sangkar, Mohamad Zuhran Mat Ali, 36, pula menjadikan ternakan ikan sangkar sebagai pendapatan sampingan sejak enam tahun lalu.

Beliau yang bekerja sebagai kontraktor telekomunikasi kini mempunyai 30 buah sangkar berkata, harga makanan ikan yang semakin meningkat menjadikan penternak semakin tersepit.

"Biasanya bagi satu pusingan ternakan ikan sangkar memerlukan RM3,000 bagi satu sangkar bagi satu musim," katanya yang bermula hanya dengan sebuah sangkar ikan patin.

Zuhran berkata, bagi satu pusingan ternakan ikan memerlukan kos makanan sehingga RM3,000 dalam bentuk palet bagi tiga peringkat dalam proses pembesaran anak ikan sehingga dewasa.
read more...

Tuesday, January 20, 2009

Warga Peneroka Tanam Cili


Warga peneroka disaran untuk menjayakan Edible Garden Felda (EGF) yang kini giat dilaksanakan, bukan sahaja untuk keperluan seharian mereka malahan dapat menjana pendapatan sampingan keluarga.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Wilayah Timur, Mohd Zaimi A.Razak, berkata EGF yang dilaksanakan membabitkan tanaman pertanian di kalangan peneroka Felda.
Katanya projek ini dijayakan bersama di peringkat pusat membabitkan FAMA dengan FELDA.
Menurutnya, teknologi penghasilan akan dilaksanakan oleh Felda manakala FAMA bertindak sebagai pemungut hasil untuk pasaran di samping memberi khidmat dalam pengembangan produk dan menggred hasil.
“Apa yang penting projek ini dilihat bukan sahaja membantu peneroka memanfaatkan guna tanah untuk pertanian dengan bijak, tetapi turut membantu menambah pendapatan sampingan kepada keluarga Felda.
“Justeru, peneroka perlu menjayakan projek ini sebaiknya, apatah lagi, semua kos pelaksanaannya ditanggung oleh Felda, yang juga sebagai jalan perintis kepada peneroka untuk menambah pendapatan di bidang pertanian,”katanya ketika ditemui semasa melawat tapak semaian anak benih, di Pejabat Felda Sungai Retang, di sini kelmarin.
Beliau dalam rangka lawatan kerja di empat tanah rancangan yang terbabit dengan projek EGF ini, iaitu Felda Sungai Retang, Felda Kota Gelanggi 3, Felda Jengka 15 dan Felda Jengka 7.
Turut hadir pada sesi lawatan kerja itu ialah Pegawai FAMA Daerah Jerantut, Mohd Lokman Mohd Isa; Pengurus Felda Sungai Retang, Shasuddin Abu Samah dan Pegawai Penyelaras Projek Sungai Retang, Nik Rizuan Nik Daud.
Sementara itu, Pegawai Pertanian Wilayah Jengka, Asrul Affendi Amiruddin berkata, menerusi empat rancangan Felda itu, sebanyak RM40,000 diperuntukkan untuk menjayakan projek itu dengan kos setiap rancangan sebanyak RM10,000.
Beliau yang juga Pengurus Projek berkata, sebanyak 34,000 anak pokok cili kulai mardi akan diagihkan kepada peneroka di empat rancangan terbabit.
Katanya, untuk Felda Sungai Retang sahaja, sebanyak 10,000 anak benih akan diberikan kepada 500 peneroka untuk ditanam, dengan setiap peneroka akan mendapat 20 anak benih cili itu.

“Selain dari anak pokok, turut dibekalkan kepada peneroka ialah tanah, baja kompos serta tunjuk ajar penjagaan pokok untuk mendapatkan hasil yang baik dan menepati kehendak pasaran.
“Serahan akan dilakukan tidak lama lagi, dan tuaian hasil pertama dijangka Mac ini, dengan setiap yang terlibat dikehendaki menghantar hasil di pusat pengumpulan hasil yang ditetapkan, sebelum diambil FAMA untuk dipasarkan,”katanya.
Beliau berkata, bayaran hasil akan dilakukan oleh Pegawai Penyelaras Projek di setiap rancangan, berdasarkan jumlah hasil yang dihantar.
Asrul Affendi berkata, objektif EGF selain menambah pendapatan peneroka, pada dasarnya untuk mengembalikan semula semangat gotong-royong di kalangan peneroka, serta tanaman yang diusahakan itu dapat menceriakan suasana kediaman masing-masing.
Menurutnya, projek ini akan dilakukan berterusan dan kesatuan yang wujud di kalangan peneroka juga mengimbau semula sejarah penubuhan Felda dahulu, bagaimana kejayaan diperoleh daripada kerjasama dilakukan. -LAN
read more...

Pelajar SMK Padang Saujana Cemerlang


Seramai 64 pelajar menerima keputusan cemerlang Ujian Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008 lalu, diraikan dalam majlis khas bertempat di Dewan Saunjana Harmoni, Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Saujana (SMKPS), semalam.
Pegawai Pelajaran Daerah Jerantut, Mohammad Hamid berkata, kecemerlangan dicapai itu membantu meningkatkan prestasi sekolah dan juga kecemerlangan daerah.
Katanya, tiga faktor menjadi asas penyumbang kepada kecemerlangan dicapai, iaitu membabitkan pelajar itu sendiri dengan sikap yang ditunjukkan terhadap kesungguhan menuntut ilmu.
“Selain itu, peranan sekolah menerusi komitmen guru berterusan yang memberi tunjuk ajar dan bimbingan tanpa jemu, turut menjadi pendorong kepada kejayaan yang dicapai.
“Tidak ketinggalan, peranan ibu bapa dalam mendidik dan mencorakkan anak dengan memberi sokongan moral dan material tanpa jemu juga menjadi faktor penyumbang kejayaan,”katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang PMR, di sini, semalam.
Mohamad berkata, keputusan yang diperolehi SMKPS ini turut membantu meningkatkan kecemerlangan di peringkat daerah, daripada peningkatan kualiti menerusi Gred Purata Sekolah (GPS) dicapai iaitu 1.57 berbanding 1.7 pada 2007.
Menurutnya, kecemerlangan ini harus diteruskan oleh pelajar yang akan menduduki PMR tahun ini dan akan datang, dengan mencontohi kejayan dicapai dan menjadikan suntikan semangat untuk diikuti.
Sementara itu, Pengetua SMKPS, Mohd Said Tairan berkata, sebahagian pelajar cemerlang PMR itu terdiri daripada pelajar yang menghuni di asrama, yang membuktikan bahawa pelajar asrama juga mampu berjaya menerusi usaha gigih berterusan.
Menurutnya, kejayaan dicapai menepis sama sekali persepsi mengatakan pelajar asrama ketinggalan berbanding dengan yang tinggal di rumah bersama penjaga masing-masing.
“Komitmen teguh semua pihak khasnya guru-guru, ibu bapa dan PIBG amat dihargai dalam membantu memberikan tunjuk ajar, sokongan dan dorongan kepada pelajar untuk berjaya.
“Justeru, apa yang diharapkan kini ialah pelajar tingkatan satu, dua dan tiga dapat mencontohi kakak dan abang mereka yang berjaya, untuk turut serta meraih kejayaan yang sama dalam PMR akan datang,”katanya.
Menerusi majlis itu, penyampai sijil penghargaan Anugerah Cemerlang dilakukan setiap penjaga kepada pelajar, sebagai menghargai jasa dan sumbangan mereka dalam usaha membantu mendapatkan kecemerlangan anak-anak.
Seramai 168 jumlah calon keseluruhan menduduki PMR 2008, dengan mendapat 9A sebanyak dua orang, 8A 21orang, 7A 20 orang, 6A 21 orang dan 5A 28 orang seterusnya menjadikan sekolah ini antara terbaik di daerah ini.- LAN
read more...

Monday, January 12, 2009

SAMBUTAN MAAL HIJRAH


Kakitangan kerajaan, pemimpin masyarakat dan orangramai diminta menghayati pengertian sambutan Maal Hijrah untuk membaiki diri masing-masing ke arah yang lebih baik dan sempurna.
Justeru, mereka digesa mengaplikasikan ajaran Islam dalam kehidupan dan tugas-tugas seharian bagi membolehkan umat Islam hidup dalam kesejahteraan.
Pegawai Daerah Jerantut, Datuk Ismail Mohd Ali, berkata ajaran Islam bukan hanya dihayati ketika beribatan dan sambutan majlis keagamaan tetapi meliputi dalam semua bidang kehidupan seharian.
"Sambutan Maal Hijrah harus dijadikan titik tolak kepada penghijrahan gaya hidup, bermula perubahan diri sendiri, keluarga seterusnya masyarakat ke arah penghidupan yang lebih baik.
'Umat Islam disemua peringkat haruslah berazam untuk mengubah diri dan cara hidup yang berlandaskan tuntutan syariat Islam," katanya ketika merasmikan sambutan Maal Hijrah Peringkat daerah Jerantut di sini.
Katanya keazaman yang tinggi dan ketakwaan untuk melakukan perubahan akan menjurus kepada kebaikan dunia dan akhirat.
Sementara itu, Pegawai Agama Islam Daerah, Ahmad Nizam Abdul Manan berkata, seramai 45 orang anak yatim di daerah Jerantut telah diraikan dan diberi sumbangan dari peruntukkan wang tabung Masjid Tengku Abdullah sebanyak RM 10,000.
Katanya sumbangan yang diberikan untuk kelompok sasaran itu, diharap dapat mengurangkan beban masyarakat yang kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim.-LAN.
read more...